Kandungan Luar Rahim

Saya pernah mengalami ektopik atau dalam bahasa mengandung di luar rahim. Masih ramai yang tidak mengetahui tentang kandungan luar rahim ini, kerana ia jarang-jarang berlaku. Kejadian berlaku pada usia saya 25 tahun iatu buat pertama kali saya mengandung. So dekat sini jom kita fahami apa itu KANDUNGAN LUAR RAHIM.
Kandungan luar rahim atau istilah perubatannya kehamilan ektopik terjadi apabila fetus membesar di luar kawasan rahim atau uterus. Kandungan seumpama ini merupakan ancaman kepada nyawa si ibu kerana berisiko menyebabkan pendarahan yang banyak serta koyakan pada tisu sekeliling.
Kehamilan ektopik boleh mengancam nyawa. Kehamilan ektopik adalah punca utama kematian dalam kalangan wanita yang hamil (bagi 3 bulan yang pertama). Bilangan kehamilan ektopik semakin meningkat. Oleh itu, perkara ini perlu difahami dengan lebih lanjut.
Kedudukan Kandungan Luar Rahim
Kes seperti ini berlaku apabila telur yang subur dan telah bersenyawa tidak tertanam di dalam rahim. Sebaliknya, dalam kebanyakan kes kandungan di luar rahim, telur tersebut tertanam di dalam salur fallopio atau kilang telur (ovari). Kadangkala terdapat juga keadaan telur tersebut melekat dalam ruang abdomen. Kehamilan jenis ini memerlukan rawatan perubatan segera. Jika telur yang akan berkembang menjadi embrio tertanam di luar kawasan uterus, maka secara logiknya ia tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk membesar. Bukan itu sahaja, embrio tersebut juga tidak mendapat nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran.
Salur fallopio terlalu sempit untuk fetus yang membesar dengan pesat, jadi besar kemungkinan boleh terjadi kerosakan serta koyakan pada tisu di kawasan tersebut. Bila ia terjadi, maka pendarahan akan berlaku dan mengancam nyawa wanita tersebut.
Punca Berlaku
  • Wanita yang pernah mengambil rawatan kesuburan mempunyai risiko lebih tinggi untuk berlaku kandungan luar rahim dan juga bagi wanita yang mempunyai sejarah pernah menghidapi inflamasi pada bahagian pelvik, kerana kesan penyakit tersebut menyempitkan salur fallopio. Keadaan itu menyebabkan telur yang subur terhalang untuk melalui salur fallopio dan terus ke uterus.
Simptom
Kebanyakan kehamilan ektopik menunjukkan tanda atau gejalanya pada minggu kelima hingga kelapan kehamilan. Jika anda hamil dan mempunyai tanda dan gejala berikut, segera berjumpa doktor:
  • Sakit bahagian bawah perut, pada salah satu bahagian (sama ada kiri atau kanan)
  • Pendarahan faraj yang tidak normal dan darah berwarna lebih gelap
  • Sakit hujung bahu (yang disebabkan oleh pendarahan intra-abdomen)
  • Kadang-kala cirit-birit atau sakit ketika membuang air besar
Jika gagal dikesan pada peringkat awal kehamilan; tiub fallopian boleh pecah, menyebabkan pendarahan berlebihan. Pada peringkat ini, anda mungkin mempunyai gejala berikut:
  • Sakit perut yang teruk secara tiba-tiba
  • Pening, pengsan, berpeluh dan letih-lesu
  • Pengsan akibat pendarahan yang berlebihan
  • Perut membengkak
  • Pucat
Diagnosis
  • Kandungan luar rahim biasanya didiagnosis pada minggu kelapan hingga 10 kandungan. Biasanya hormon kronionik gonadotrofin secara bersiri digunakan untuk membantu diagnosis kandungan luar rahim.
  • Ujian imbasan ultrabunyi di bahagian pelvis akan memberitahu kedudukan sebenar fetus dan menentukan sama ada kandungan berlaku di luar rahim. Ujian laparoskopi juga membantu untuk menentukan lokasi kandungan sebenar dan rawatan yang sewajarnya dapat diberikan semasa prosedur tersebut.
Cara Rawatan

Rawatan untuk kehamilan ektopik bergantung kepada keadaan pesakit. Antara faktor-faktor mempengaruhi rawatan adakah ektopik telah pecah atau tidak, sama ada pesakit stabil (tekanan darah yang normal dan kadar nadi), saiz kantung kehamilan ektopik, dan kehadiran darah di dalam pelvis dan tahap serum beta-hCG

Rawatan konservatif
  • Wanita yang boleh menjalani rawatan konservatif termasuk wanita yang asimptomatik dan tidak pecah serta tiada pendarahan pelvis. Wanita ini perlu diberi kaunseling sewajarnya. Selain itu wanita dengan tahap serum beta-hCG yang semakin berkurangan juga sesuai menjalani rawatan secara konservatif.
Rawatan perubatan
  • Rawatan perubatan melibatkan suntikan methotrexate. Kriteria membolehkan rawatan perubatan ini termasuk kehamilan ektopik yang tidak pecah, diameter kantung kehamilan kurang dari 3cm, tahap serum beta-hCG kurang dari 3000 IU dan imbasan ultrabunyi tidak menunjukkan pendarahan dalam pelvis. Anggaran tahap serum beta-hCG yang berterusan diperlukan untuk menilai keberkesanan rawatan.
Pembedahan
  • Rawatan secara pembedahan laparoskopi (pembedahan teropong)adalah rawatan bagi kebanyakan kehamilan ektopik. Namun, ia bergantung pada keujudan peralatan pembedahan dan kepakaran doktor. Doktor boleh memiloh untuk emmbuang ektopik tersebut atau membuang keseluruhan ini dan keputusan ini adalah berdasarkan pemerhatian ke atas tahap kesihatan tiub lain.
  • Bagi kes kehamilan tiub yang telah pecah dan keadaan wanita tidak stabil, pembedahan terpaksa dilakukan (berbanding pembedahan laparoskopi) kerana proses pembedahan dapat dilakukan dengan lebih cepat. Jika berlaku kes kehilangan darah yang banyak, pemindahan darah diperlukan.
Peluang untuk hamil pada masa depan masih ada tetapi bergantung kepada berapa sihat tiub lain dan faktor lain seperti: umur , atau jika anda sukar hamil sebelum ini. Jika tiub bersebelahan tidak tersekat atau rosak, peluang untuk hamil adalah masih ada tidak kira samada tiub yang terjejas oleh ektopik dikekalkan atau dibuang sepenuhnya.

Secara umum, 65 - 70 peratus wanita dengan sejarah kehamilan ektopik akan hamil lagi dalam tempoh 18 bulan. Walau bagaimanapun, jika kedua-dua tiub fallopian rosak atau pecah, anda perlu menjalani rawatan kemandulan (IVF) untuk hamil pada masa  Peluang untuk mendapat semula ektopik dalam 12-20 peratus.
Keadaan saya masa terkena ektopik ni ialah pada tahap bangun pengsan, pucat, dan tiub telah pecah dan saya juga mengalami kehilangan darah yang banyak dan pemindahan darah telah dilakukan. Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT yang masih memberi peluang untuk saya menikmati kehidupan ini dan masih mempunyai peluang untuk menimang cahaya mata. Terima Kasih Ya Allah.

Comments