Emak

Takkan ku biarkan walau ribut
menyentakmu yang tidur
datang petir menyambar
jengking dan ular
bonda takkan berundur

nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa

kan ada satu ketika kau tak tahu
mana nak pergi
jalan betul
anakanda tak jelas mata
ambil yang sarat duri

Hiduplah arjuna beta
biarkas jasad yang luka
selama Tuhanmu ada
takkan engkau tercela

Ngeri tak terbayang mata
bonda takkan ada sentiasa
nanti moga kau tak lupa
bonda memujukmu, anakanda

hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama Tuhanmu ada
takkan engkau tercela

Nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa

Lirik : Arjuna Beta by Fynn Jamal

Sungguh puitis lirik lagu arjuna beta ni. Sebagai seorang ibu kita memang bersifat ingin melindungi anak-anak kita dari segala bentuk cabaran dan dugaan yang datang, selagi nyawa dikandung badan seorang ibu akan sentiasa inginkan yang terbaik buat anak-anak mereka.

Setiap manusia akan mengalami pengalaman sebagai seorang anak. Apakah bakti kita kepada ibu kita? Pernahkah kita menguriskan hati mereka? Pernahkah kita mengembirakan hati mereka? Jawabannya hanya ada pada diri kita sendiri. Ibu, emak, ummi, muumy, setiap panggilan itu mempunyai satu maksud yang sama iaitu orang yang mengendong perut yang besar selama  9 bulan 9 hari dengan bermacam dugaan yang dihadapi.

Emak saya melahirkan 14 orang anak yang mempunyai pelbagai karenah dan emak melalui pelbagai dugaan dan cabaran untuk membesarkan kami. Jasa dan pengorbanan emak hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Emak tak pernah putus doa untuk anak-anaknya walaupun ada yang tidak mendengar apa yang disuruh. Pernah sekali saya bertanya pada emak. "mak kenapa emak lebih-lebih sayang  tapi dia tetap sakitkan hati mak?". Jawaban yang saya dapat dan baru saya fahami setelah menjadi seorang ibu ialah " Kalau mak tak sayang siapa lagi nak sayang dia, sebab kamu semua dah benci dia." Luhurnya hati seorang emak walau buruk baik seorang anak tetap memberi kasih sayang mereka tanpa cacat celaanya. Semoga emak di tempatkan di sisi orang-orang yang beriman.

Tarikh keramat 28/3/2006 perginya seorang emak yang tiada gantinya. Sebelum emak meninggal dia memanggil saya untuk meneman kan dia ke tandas untuk buang air, sempat saya bergurau senda dengan emak. selepas 1 jam emak memanggil lagi sekali mengadu badan rasa tak selesa. Melalui renungan mata emak dan memanggil nama saya " Niyah mak rasa mak nak mati dah". dan dia melihat wajah kami seorang demi seorang. Dalam tak sampai 10 minit saya bawa emak ke tengah rumah dan menelefon ambulans untuk bawa emak ke hospital. Sementara menunggu, saya memangku emak dan emak menghembuskan nafas terakhir di atas pangkuan saya. Semoga emak tenang di sana.

Kepada anak-anak di luar sana yang masih mempunyai ibu dan bapa, hargailah mereka dan bahagiakan lah hati mereka di saat mereka masih bernyawa kerana hilang isteri/suami/kekasih ada gantinya tetapi hilang ibu bapa tiada gantinya. Peluang hanya datang sekali sahaja jangan kita merasa menyesal bila mereka tiada disisi kita lagi.

Renungilah Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam:
 “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
(Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)


Semoga anda terhibur dengan video yang saya share ini. 


Comments